Berita

Sekat kapal syarikat Israel: Tindak balas Malaysia terhadap kezaliman keatas rakyat Palestin.

Hari ini, kerajaan Malaysia mengumumkan sejumlah sekatan terhadap kapal-kapal yang berpangkalan di Israel dan yang menuju ke negara Yahudi tersebut, dengan menghalang mereka daripada berlabuh atau memuatkan muatan di mana-mana pelabuhan di Malaysia. Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa antara langkah yang diambil adalah mengekang syarikat perkapalan Israel, ZIM Integrated Shipping Services Ltd (ZIM), daripada berlabuh di pelabuhan Malaysia.

Keputusan itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang dianggap telah menzalimi rakyat Palestin melalui pelanggaran prinsip asas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa melalui pembantaian dan kekejaman berterusan. Anwar menekankan bahawa Kementerian Pengangkutan akan segera mengenakan larangan kekal terhadap ZIM berkuat kuasa serta merta.

Sumber : Malaysia Kini

Anwar memberikan maklumat tambahan bahawa keputusan hari ini melibatkan pembatalan semua kebenaran sebelum ini yang membolehkan kapal milik ZIM berlabuh di Malaysia. Keputusan ini diambil susulan rancangan kedatangan kapal ZIM di Pelabuhan Klang pada 26 Disember ini.

Selain itu, kerajaan Malaysia juga mengumumkan larangan terhadap kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini. Keputusan ini mencerminkan ketegasan Malaysia dalam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Israel.

Anwar menegaskan bahawa Malaysia yakin keputusan ini tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan negara, dan sekatan-sekatan ini diperlukan sebagai satu bentuk protes terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan di Palestin.