Berita

MOSTI Memacu Inovasi: Kejayaan Program di COP 28 Dubai

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama agensinya, Cradle dan MAVCAP, telah mengadakan program berprestij “Leveraging Climate Technologies & Innovation: Entrepreneurs Driving Local Solutions” di COP 28, Dubai, UAE pada 11 Disember 2023. Program ini menjadi pentas kepada lima syarikat pemula tempatan yang bergerak dalam bidang teknologi perubahan iklim dan biodiversiti, iaitu Pantas Climate Solutions, SpaceIn, Blue Bee Technologies (ERTH), BoomGrow Production, dan CompAsia Holdings.

Keunikan program ini terletak pada peluang yang diberikan kepada syarikat-syarikat ini untuk berinteraksi dengan para pelabur dari rantau Timur Tengah. Ia bertujuan untuk mendorong perkembangan dan pelaburan dalam industri inovasi dan teknologi hijau di Malaysia. MOSTI berhasrat untuk memantau dengan rapat hasil-hasil yang muncul daripada pelaburan dan kerjasama yang berlaku hasil daripada penyertaan di COP 28.

Selain daripada perbincangan pelaburan, delegasi MOSTI turut menjalin kerjasama dengan MIDA Dubai untuk meneroka peluang yang lebih luas bagi syarikat-syarikat pemula Malaysia untuk memasuki pasaran Timur Tengah. Ini melibatkan strategi dan pelan tindakan bagi memastikan syarikat-syarikat tersebut berjaya menembusi dan memanfaatkan peluang yang ada.

Di samping itu, delegasi Malaysia juga melawat Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai yang kini dikenali sebagai Hab Teknologi dan Inovasi Malaysia di UAE. 

Pelbagai program dijangka diadakan di Hab tersebut pada tahun 2024, memberikan peluang untuk mempamerkan dan mempromosikan pencapaian serta inovasi terkini Malaysia dalam bidang sains, teknologi, dan inovasi. Kejayaan program di COP 28 dan kesinambungan usaha untuk memajukan syarikat-syarikat pemula tempatan melonjakkan imej Malaysia sebagai hab inovasi di peringkat antarabangsa.