Hari ini merupakan hari pertama Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang berlangsung selama 3 hari di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil. Program ini bertujuan untuk mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu kerajaan kepada rakyat, meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan, serta membina kepercayaan dan keyakinan antara Kerajaan dengan rakyat melalui pelaporan secara berkala.
Terdapat banyak program menarik seperti Larian Ria MADANI, pameran aset kerajaan, jualan mega MADANI, dan pelbagai lagi, yang dianjurkan oleh kementerian-kementerian. Pengunjung juga dapat menikmati perkhidmatan bergerak dan trak makanan. Kaunter pengurangan kadar kompaun saman PDRM telah dibuka seawal pukul 9.00 pagi dan terus dibanjiri pengunjung yang ingin mendapatkan diskaun sehingga 50%. Selain itu, pengunjung yang ingin mendapatkan topi keledar baru boleh singgah ke JPJ Mobile untuk menukar topi keledar lama mereka kepada yang baharu.
Majlis Pelancaran MYNEXT TVET dan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Kerjasama Transformasi TVET juga akan diadakan petang ini dan dijangka akan di rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.