Berita

Sidang AZEC: Malaysia komited kearah perubahan tenaga lestari

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bersama delegasi Malaysia, telah menghadiri Mesyuarat Pemimpin Asia bagi Komuniti Pelepasan Karbon Sifar Asia (Asia Zero Emission Community – AZEC) sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun. Dalam wacana ini, Malaysia ingin mengucapkan penghargaan yang tinggi kepada Jepun atas peranan proaktif dan konstruktifnya dalam menyediakan platform ini, yang menjadi medan perbincangan dan persediaan untuk melaksanakan peralihan tenaga.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menekankan dengan jelas kepentingan pemuliharaan dan pemulihan alam sekitar sebagai aspek penting dalam usaha bersama untuk mengurangkan pelepasan karbon, dengan matlamat mencapai Pelepasan Karbon Sifar menjelang 2050. Beliau menggariskan bahawa kesedaran mengenai isu ini adalah kunci ke arah pembangunan mampan dan kesejahteraan generasi akan datang. 

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menghadiri Asia Zero Emission Community (AZEC) Summit sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di Pejabat Perdana Menteri Jepun di Tokyo, 17 Disember, 2023. – SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

Selain itu, Perdana Menteri turut menekankan pada keperluan kebersamaan semua negara untuk bermain peranan lebih aktif dalam kerjasama dana hijau, insentif, fasilitasi teknologi, dan pembangunan infrastruktur yang berkesan. Beliau menyatakan keyakinan bahawa kerjasama dalam bidang ini akan memberikan dorongan yang signifikan kepada Malaysia dalam usaha mempercepatkan peralihan tenaga ke sumber yang lebih lestari dan berkesan.

Perbincangan, AZEC telah meluluskan Kenyataan Bersama AZEC sebagai bentuk pengukuhan dan komitmen bersama Negara-negara anggota untuk melaksanakan peralihan tenaga secara menyeluruh. Dengan demikian, Malaysia dan rakan-rakan sejawatnya di AZEC melangkah bersama dalam usaha untuk mencapai matlamat pelepasan karbon sifar, mencerminkan semangat kerjasama dan tanggungjawab serantau dalam menghadapi cabaran perubahan iklim global.