Berita

Penambahan aset, penguatkuasaan langkah strategik MOTAC menuju Tahun Melawat Malaysia 2026

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kerajaan sentiasa berusaha memperkasa ekosistem industri pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan keperluan untuk meningkatkan penguatkuasaan MOTAC seiring kemajuan industri pelancongan. 

Katanya, pada Julai 2023, kerajaan menyumbang RM100 juta secara one-off di bawah Peruntukan Perbelanjaan Pembangunan (Projek Berimpak Tinggi dan Kesejahteraan Rakyat) kepada Agensi Penguatkuasaan Malaysia. 

Sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi memperkukuh keupayaan BPPP MOTAC dan Pejabat MOTAC Negeri memperoleh peruntukan. 

Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Penyerahan Kenderaan Jabatan dan Peralatan Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan (BPPP) dan Pejabat MOTAC Negeri di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terdiri dari 16 aset kenderaan penguatkuasaan.

Katanya, perolehan aset ini akan menjadi pemangkin utama untuk meningkatkan keupayaan dan kesiagaan agensi penguatkuasaan MOTAC di seluruh negara.

Aset-aset yang diserahkan merangkumi kenderaan pelbagai guna jenama Maxus G-10 Supreme, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux, dan kenderaan SUV jenama Proton X90. 

Selain kenderaan, bagasi dokumen terperingkat, alat peranti tablet, telefon pintar mudah alih, dan kamera badan turut diserahkan sebagai kelengkapan operasi penguatkuasaan pelancongan.

Katanya, ia merupakan langkah MOTAC dalam memperkukuhkan infrastruktur dan kemampuan operasi mereka, yang akan memberi impak positif pada industri pelancongan Malaysia secara keseluruhannya.