Berita

Program Madani Afiat, ANMS turun padang dekati rakyat

Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa dalam Majlis Pelancaran Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2023 di SMK Bukit Gambir pada Isnin berkata, pelaksanaan program Madani Afiat adalah usaha untuk mendekati rakyat dan menyampaikan maklumat asas pencegahan serta program Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Terdahulu, program ini diadakan di negeri Selangor, Kedah, Terengganu, Johor, Perak, dan Melaka, melibatkan aktiviti ‘Touch Point’ seperti lawatan rumah ke rumah, dengan penekanan pada saringan kesihatan, dan melibatkan penglibatan pihak pengurusan tertinggi KKM, pemimpin masyarakat, dan pasukan perubatan untuk mendekati serta menyantuni rakyat secara dekat.

Selain Madani Afiat, Jelajah ANMS juga menjadi tumpuan dengan menitikberatkan kepada aktiviti statik yang membolehkan agensi terlibat menyelenggara pameran, perkhidmatan, saringan kesihatan, dan kecergasan. Antara inisiatif yang diketengahkan adalah ‘Jom Saring’, sebahagian daripada Saringan Kesihatan Kebangsaan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang kepentingan saringan kesihatan secara berkala. YB Tuan Daniel Gooi Zi Sen, YB Tuan Fahmi Bin Zainol, YB Tuan Kumaresan a/l Aramugam, YB Dr. Lingeshwaran a/l Dato’ Seri R Arunasalam, YBhg. Dato’ Zainal Alhakab Seman, YBhg. Datuk Dr. Norhayati binti Rusli, dan YBrs. Dr. Fazilah binti Shaik Allaudin turut menghadiri majlis tersebut, menunjukkan sokongan penuh terhadap usaha-usaha kesihatan dan pencegahan di negeri Pulau Pinang.

Sumber : Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia