Berita

KPT 2024: Penanda Aras Kecemerlangan dan Pemangkin Pembangunan Negara

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, menyampaikan arahan penting didalam Seminar Perancangan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tahun 2024. Dalam rumusannya, beliau menegaskan bahawa KPT, sebagai penerima peruntukan kelima terbesar dalam Belanjawan 2024, mempunyai tanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan inisiatif KPT secara cemerlang. KPT juga diharapkan untuk menjadi penanda aras kecemerlangan yang dapat memberi inspirasi kepada kementerian-kementerian lain.

KPT, sebagai peneraju utama dalam pendidikan tinggi, diarahkan untuk terus mengekalkan mandat dan tugas utamanya, iaitu mendidik dan melahirkan bakat terbaik tempatan. Selain itu, KPT diminta untuk terus melibatkan diri dalam penyelidikan dan eksplorasi ilmu terkini untuk kepentingan masyarakat dan negara.

YAB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin turut menyarankan agar KPT memfokuskan usahanya dalam pendigitalan, memanfaatkan teknologi, dan menjadi lebih holistik dalam pendekatannya untuk merangsang pertumbuhan pelbagai agensi dan segmen dalam sektor pendidikan tinggi negara. Beliau menyokong penggunaan amalan mega-trend dunia seperti ESG (Environmental, Social, and Governance) dan SDG (Sustainable Development Goals) dalam cara kerja KPT.

Semasa Seminar Perancangan Hala Tuju yang berlangsung selama dua hari, beliau menekankan beberapa aspek kunci yang perlu diutamakan. Antara adalah cadangan untuk mengekalkan hala tuju dan sasaran yang lebih praktikal, memfokuskan kepada peningkatan kapasiti sumber manusia, menyediakan pelan tindak balas untuk menghadapi ketidakpastian, memupuk semangat kerja berkumpulan, dan sentiasa mengutamakan agenda dan kepentingan negara.