Berita

PM hadir MTPMA63 Tahun 2026, bincang kepentingan negeri di Borneo

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.

Mesyuarat pada pagi ini dijangka membincangkan isu tuntutan bayaran 40 peratus hasil bersih Sabah.

Hadir sama pada mesyuarat itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud serta barisan kepimpinan dari kedua-dua negeri.

Sabah menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan yang akan membincangkan tuntutan serta isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih belum diselesaikan.

Terdahulu setibanya di Sabah, Perdana Menteri menghadiri Majlis Makan Malam sempena MTPMA63 Tahun 2026.

Perdana Menteri berkata, hadir sama pada majlis makan malam itu adalah Ketua Menteri Sabah, Premier Sarawak serta pimpinan kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang diadakan dalam suasana penuh muhibah dan kebersamaan.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak adalah rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan yang terus bersama-sama memperkukuh kestabilan negara serta memantapkan semangat perpaduan dan kebersamaan antara wilayah.

“Insya-Allah, perpaduan dan kepercayaan yang terbina ini akan terus menjadi kekuatan dalam menjayakan agenda pembangunan serta menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” ujar beliau menerusi laman media sosialnya. -MalaysiaMADANI