Berita

Tindakan hasut rakyat: Kerajaan Perpaduan tak akan bertolak ansur

JOHOR BAHRU – Kerajaan Perpaduan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba menghasut rakyat sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan antara kaum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak gentar dan terbuka untuk dikritik namun sebarang cubaan menghasut rakyat sehingga mencetuskan konflik dalam masyarakat yang berbilang kaum di negara ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya tidak setuju Akta Hasutan dikenakan kepada yang kritik Perdana Menteri dan kerajaan tetapi kita tidak bertolak ansur jika ada yang cuba menghasut atau fitnah hingga sentuh isu 3R (Raja, Bangsa, Agama) … biar polis ambil tindakan.

“Kamu boleh kritik apa sahaja dan siapa pun… tetapi jika kamu guna sentimen, hasut orang Melayu benci Cina, hasut orang guna agama tuduh orang lain kafir… saya tegaskan saya tidak akan bertolak ansur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Taman Uda Utama, Perling pada malam Ahad.

Majlis turut dihadiri Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon PH bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.

Anwar, yang juga Pengerusi PH berkata, rakyat mesti menolak pihak yang cuma menggunakan politik kebencian dan ekstremis.

Beliau berkata, mereka menggunakan sentimen yang kononnya DAP menghalang Kerajaan Perpaduan bagi membantu rakyat khususnya Orang Melayu sedangkan parti itu sentiasa menyokong segala inisiatif untuk rakyat tanpa mengira kaum.

“DAP bersama PH, kalau DAP tolak Perlembangaan Persekutuan, kita lawan dia, kalau dia tak terima Islam sebagai agama Persekutuan, kita lawan… tapi sebaliknya mereka terima,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, Kerajaan Perpaduan akan terus mentadbir negara berteraskan Ekonomi Madani bagi menjaga kebajikan rakyat biarpun inisiatif yang diperkenal ditolak atau diperlekeh oleh pembangkang.

“Oleh kerana kita buat perubahan ini (dasar dan inisiatif bantu rakyat), mereka (pembangkang) tidak tahan… nak cakap kita (Kerajaan Perpaduan) tak buat kerja sedangkan mereka tahu kita buat kerja.

“Mereka boleh terus bermimpi untuk ambil alih kerajaan Persekutuan di saat Kerajaan Perpaduan terus jalankan kerja selamatkan negara dan rakyat berteraskan Ekonomi Madani,” katanya.

Anwar turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan akan terus bertahan dalam tempoh satu penggal akan datang berdasarkan prestasi ekonomi dan kemasukan pelaburan asing baharu ke dalam negara.

Beliau berkata, kejayaan yang dikecapi dalam tempoh lebih lapan bulan pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah hasil tumpuan tenaga seluruh parti dalam kerajaan.

PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi diadakan serentak dengan pengundian awal pada 5 September dan hari mengundi pada 9 September ini. – Bernama