Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh kerjasama strategik bersama Transparency International (TI) bagi mempertingkat tadbir urus, integriti, ketelusan serta agenda pencegahan rasuah di peringkat nasional dan global.
Komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Pengerusi TI, Francois Valerian ke ibu pejabat SPRM dan mengadakan perbincangan bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman.
Mewakili suruhanjaya itu, Azmi berkata, SPRM amat menghargai hubungan baik yang terjalin dengan TI dan kekal komited memperkukuh kerjasama dalam mempromosikan tadbir urus yang baik, integriti, ketelusan serta inisiatif antirasuah.
“SPRM komited memperluaskan kerjasama sedia ada dan meneroka bidang kerjasama baharu yang mampu menyumbang kepada pengukuhan sistem integriti,” katanya dalam satu kenyataan.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Pengarah Kanan BPGN, Datuk Idris Zaharudin dan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Raymon Ram.
Azmi berkata, melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), SPRM berperanan sebagai Sekretariat Utama Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Kata beliau, menerusi pasukan petugas itu serta enam Kumpulan Fokus CPI, SPRM bekerjasama rapat dengan kementerian, agensi kerajaan, institusi akademik, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil bagi mengenal pasti faktor yang mempengaruhi prestasi CPI Malaysia.
Menurut beliau, pencapaian Malaysia dalam skor CPI 2025 meningkat dua mata daripada 50 kepada 52, manakala kedudukan negara bertambah baik tiga anak tangga daripada tempat ke-57 kepada ke-54 dunia, sekali gus mencerminkan perkembangan positif hasil pelaksanaan reformasi tadbir urus dan integriti. -MalaysiaMADANI
