Berita, Siaran Media

Hasrat AT&S luas operasi di Kedah cerminkan keyakinan pelabur asing


Langkah syarikat teknologi semikonduktor global dari Austria, AT&S yang berhasrat memperluas operasinya di Kulim, Kedah, menjadi destinasi pelaburan teknologi berimpak tinggi adalah bukti keyakinan pelabur luar kepada negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan berkenaan jelas membuktikan dasar ekonomi negara serta kestabilan yang berjaya diwujudkan.

“Alhamdulillah, pertemuan dan perbincangan yang berlangsung pada awal Jun membuahkan hasil apabila AT&S mengumumkan hasrat untuk memperluas operasinya di Kulim, Kedah, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan teknologi berimpak tinggi.

“Pelaburan ini dijangka memperkukuh lagi ekosistem semikonduktor negara serta membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Malaysia.

“Keyakinan pelabur antarabangsa seperti AT&S membuktikan bahawa dasar yang jelas, kestabilan politik, tatakelola yang baik serta iltizam kerajaan untuk memacu transformasi ekonomi sedang meletakkan Malaysia di landasan yang tepat sebagai destinasi utama pelaburan teknologi maju dan pusat pertumbuhan ekonomi baharu rantau ini,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya, hari ini.

Anwar menambah perkembangan berkenaan amat bermakna dalam menjulang semangat saling percaya dan komitmen terhadap masa depan ekonomi digital negara yang kini diterjemahkan melalui pelaburan yang nyata serta berimpak tinggi kepada negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Michael Mertin berkata, keupayaan syarikat itu dalam teknologi pembuatan maju dan kerjasama erat dengan pemain utama industri semikonduktor global meletakkannya sebagai rakan strategik bagi gelombang pertumbuhan baharu industri berkenaan.

“Pengembangan tapak kami di Kulim menunjukkan tahap kepercayaan pelanggan terhadap keupayaan AT&S dan komitmen bersama untuk pertumbuhan mampan dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, ketika AI mempercepatkan peralihan kepada seni bina semikonduktor yang semakin kompleks, permintaan terhadap teknologi substrat termaju terus meningkat.

“Pelaburan di Malaysia akan mengukuhkan kedudukan AT&S sebagai antara pemain penting dalam pembangunan teknologi pengkomputeran generasi akan datang, selain memastikan penciptaan nilai jangka panjang kepada syarikat dan pelanggan,” ujarnya. – MalaysiaMADANI