Berita

D’Tebing Recharge Rider jadi Hab P-Hailing Kuala Lumpur, sokongan kepada pekerja gig

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan D’Tebing Recharge Rider sebagai Hab P-Hailing Kuala Lumpur bagi memberi kemudahan kepada komuniti penghantar makanan dan barangan.

Menurut DBKL, usaha memperkenalkan D’Tebing Recharge Riders adalah langkah permulaan sebagai tanda menghargai dan memahami penat lelah komuniti tersebut.

Katanya, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan DBKL dalam menyediakan kemudahan awam yang lebih inklusif, responsif dan mesra pengguna bagi memenuhi keperluan komuniti rider yang sentiasa berkhidmat di lapangan tanpa mengira cuaca dan waktu.

“D’Tebing Recharge Rider menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan komuniti p-hailing termasuk ruang rehat berbumbung, stesen pengecas telefon bimbit, surau, tandas awam serta ruang menunggu pesanan yang lebih selesa dan kondusif. 

“Kemudahan ini diwujudkan bagi menyokong kesejahteraan komuniti penghantar yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran aktiviti ekonomi dan kehidupan harian warga kota,” kata DBKL dalam satu kenyataan.

Hab tersebut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud. 

Menurut DBKL, dua unit ruang rehat D’Tebing Recharge Riders tersebut tersedia 24 jam bagi komuniti penghantar makanan dan barangan memanfaatkan ruang tersebut untuk berehat atau solat, manakala stesen cas telefon bimbit akan dibuka bermula jam 8 pagi sehingga jam 11 malam mengikut masa operasi kedai di sekitar. 

Selain itu katanya, kedudukan D’Tebing Recharge Riders ini secara strategiknya ditempatkan berdekatan kedai makanan dan minuman yang turut menyediakan menu Rahmah serendah RM5 bagi menyokong komuniti ini yang turut bergelut dengan keadaan ekonomi dan perbelanjaan harian masing-masing.

“Kemudahan ini bukan sekadar menyediakan ruang rehat, malah menjadi simbol pengiktirafan terhadap sumbangan komuniti rider yang memainkan peranan penting dalam menyokong kehidupan harian warga kota,” ujarnya. -MalaysiaMADANI