Berita

Sultan Nazrin hadir Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI Perak

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Perak di Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Keberangkatan tiba baginda jam 8.15 malam disambut Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut hadir Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta barisan exco kerajaan negeri.

Perdana Menteri hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Peringkat Negeri Perak di Sunway Lost World of Tambun di Ipoh. – NSTP/L Manimaran
Orang ramai membanjiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Perak di Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) hari ini. – Foto BERNAMA

Kira-kira 50,000 pengunjung berbilang kaum hadir memeriahkan majlis rumah terbuka itu, sekali gus berpeluang menyaksikan persembahan artis tempatan.

Pengunjung juga berpeluang merasai sendiri aktiviti menarik di LWOT secara percuma antara jam 6.30 petang hingga 11 malam termasuklah iaitu mandi di Lost Word Hotspring dan mengunjungi Night Safari.

Terdahulu Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sempat berbual dan beramah mesra bersama pengunjung pelbagai peringkat usia yang membanjiri perkarangan LWOT. – BERNAMA