Berita

50,000 rakyat berbilang bangsa hadir rumah terbuka Malaysia MADANI di Perak

IPOH: Kira-kira 50,000 pengunjung berbilang bangsa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia MadaniI negeri Perak di taman tema Sunway Lost World of Tambun (LWOT), di sini malam ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat pada majlis dihadiri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.

Berangkat sama pada majlis anjuran kerajaan negeri Perak itu ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.

Orang ramai membanjiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) hari ini. – BERNAMA

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; serta barisan exco kerajaan negeri turut hadir.

Sewaktu majlis santapan dan jamuan makan membabitkan jemputan hadirin kenamaan bermula, majlis diserikan persembahan nyanyian beberapa artis popular.

Antaranya Datuk Jamal Abdillah, Sufian Suhaimi, P Radhi dan Ella, selain undangan istimewa termasuk bintang siri Projek: High Council, Nadhir Nasar.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1103165/50000-rakyat-berbilang-bangsa-hadir-rumah-terbuka-malaysia-madani-di