Berita

SMP wadah penyatupaduan rakyat

SAMBUTAN Minggu Perpaduan (SMP) 2023 adalah inisiatif Kementerian Perpaduan Negara (KPN) yang memfokuskan kepada menyemarakkan semangat perpaduan serta menyebar pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat Malaysia.

Kerangka Perpaduan Malaysia MADANI yang dibangunkan oleh KPN melalui konsep Perpaduan Dalam Kepelbagaian menjadikan Kembara Perpaduan Malaysia MADANI sebagai program flagship kementerian dalam mencapai aspirasi perpaduan nasional.

Program-program kementerian yang digariskan di bawah flagship ini terdiri terdiri daripada tiga kluster utama iaitu Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Program Komuniti RAHMAH.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional KPN, Zulkifli Hashim, berkata SMP 2023 membawa tema Perpaduan Dalam Kepelbagaian yang menjadi usaha penyatupaduan berterusan untuk mendidik, membentuk peribadi dan tingkah laku masyarakat Malaysia pelbagai kaum, agama dan budaya, serta meraikan kepelbagaian.

Katanya, kementerian amat berbesar hati dengan penyempurnaan majlis perasmian SMP 2023 peringkat kebangsaan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 21 Mei 2023.

“Sudah semestinya banyak aktiviti-aktiviti menarik yang bakal disajikan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya di Kuching Waterfront.

“Seluruh rakyat Malaysia tidak mengira bangsa, kaum, dan agama, anak muda, belia, orang dewasa di mana jua anda berada, anda semua adalah keutamaan kami.

“Kita semua bersatu untuk keharmonian bangsa Malaysia. Justeru, penganjuran program ini adalah untuk kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Slot Ruang Bicara yang membicarakan topik berkenaan SMP Tahun 2023 di Studio Ruang Bicara BERNAMA TV, Wisma BERNAMA TV, di sini pada Jumaat, 12 Mei lalu.

Ia turut dihadiri Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa KPN, Mohamad Sobri Mat Daud dan dihoskan oleh Sharkawi Jirim.

KPN turut menyasarkan untuk cuba mencipta satu Malaysia Book of Records (MBOR) yang baharu untuk dua kategori melalui penganjuran SMP 2023 peringkat kebangsaan.

SMP 2023 peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 20 hingga 26 Mei 2023 di Kuching Waterfront itu menyasarkan kategori Peserta Dengan Pemakai Pakaian Etnik Terbanyak Dalam Majlis dan Pameran Kebudayaan Paling Etnik Dalam Pameran.

Sobri berkata, SMP yang membabitkan pelaksanaan di peringkat kebangsaan dan negeri menerima kerjasama dan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak swasta.

Sambutan Minggu Perpaduan di peringkat Kebangsaan contohnya Kerajaan Negeri Sarawak, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan pelbagai agensi awam, swasta, NGO telah turut serta dalam acara ini.

“Pelbagai aktiviti menarik yang dapat memupuk keharmonian masyarakat melalui detik-detik perpaduan akan dilaksanakan merangkumi aktiviti-aktiviti sukan, kebudayaan, kesenian, pameran, jualan dan macam-macam lagi.

“Antara program-program utama adalah UNITI Run/Ride, Jualan Rahmah, Pameran Rumah Etnik, Jom Cuba, Pameran Agensi Kerajaan, 60 Tahun Malaysia dan Persembahan Kebudayaan serta Buskers,” katanya.

Zulkifli berkata, SMP turut akan diadakan pada peringkat negeri bermula 20 hingga 28 Mei 2023 membabitkan 15 lokasi berbeza yang sarat dengan aktiviti menarik pastinya memupuk keharmonian masyarakat melalui detik-detik perpaduan.

“Program ini juga akan akan dilaksanakan dengan kerjasama dan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga pihak swasta.

“Antara lokasi yang akan dijelajah KPN sepanjang SMP peringkat negeri adalah Dataran Merdeka Arena Square, Dungun, Terengganu; Dataran Dato’ Syeikh Ahmad, Kangar, Perlis; Taman Tasik Shah Alam dan Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, Selangor; UiTM Seremban 3, Negeri Sembilan dan banyak lagi,” katanya.

Sobri berkata, pelbagai agensi baharu seperti Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Arkib Negara, Perpustakaan Negara, Yayasan Tunku Abdul Rahman dan banyak lagi selain Integrasi Nasional akan diletakkan di bawah KPN bagi membuktikan peranan yang dimainkan kementerian dalam memacu agenda perpaduan nasional.

“Skop dan peranan KPN akan menjadi lebih luas dan kita mempunyai jentera yang lebih kuat untuk menggerakkan agenda perpaduan.

“Jentera-jentera perpaduan di peringkat komuniti termasuk Kawasan Rukun Tetangga, Skim Rondaan Sosial, Sekretariat Rukun Negara, Kelab Rukun Negara, Rakan-Rakan Strategik Perpaduan, Pemimpin-pemimpin Komuniti, Pemimpin-pemimpin Agama, Badan-Badan Bukan Kerajaan, agensi awam serta swasta yang lain turut saling bekerjasama mendukung aspirasi perpaduan nasional dalam merealisasikan hasrat membangun Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga akan terus memartabatkan perpaduan di segenap lapisan masyarakat dengan tiga konsep utama yang akan diterapkan dalam setiap pelaksanaan program di Kementerian adalah “Faham, Hormat dan Terima.”

“Semoga dengan pengamalan tiga aspek ini, rakyat Malaysia dapat sama-sama mencipta lebih banyak momen-momen perpaduan yang lebih indah dan sekaligus dapat mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Kembara Perpaduan Malaysia MADANI yang dilancarkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Gong pada 1 Mac 2023 adalah inisiatif berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh KPN dalam usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Gong ketika sidang media Majlis Amanat bersama warga KPN. – FOTO Kementerian Perpaduan Negara

Menurut Datuk Aaron, pelaksanaan program di bawah Kembara Perpaduan Malaysia MADANI akan menggunakan ‘whole of government approach’ iaitu kerjasama antara agensi kerajaan merentasi sempadan portfolio dalam meneraju agenda perpaduan negara yang selari dengan pembangunan Malaysia MADANI.

Tiga kluster utama Kembara Perpaduan Malaysia MADANI adalah Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan, dan Komuniti RAHMAH.

Program Semarak Kenegaraan dilaksanakan bagi memupuk semangat kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat melalui usaha memartabatkan Rukun Negara.

Ia dirangka bagi memupuk semangat jati diri dan cintakan tanah air.

Program Semarak Perpaduan pula bertujuan meraikan perbezaan dalam kepelbagaian melalui
elemen seperti kebudayaan, pendidikan serta rekreasi.

Kluster ketiga iaitu Program Komuniti RAHMAH pula memberi pendekatan untuk memangkin kesejahteraan serta keharmonian komuniti meliputi aspek ekonomi, pendidikan, agama, kesihatan, kenegaraan, kebudayaan dan alam sekitar.

Layari laman Facebook Kembara Perpaduan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Sambutan Minggu Perpaduan 2023.