Berita

KERAJAAN AKAN PASTIKAN TAMBANG ECRL BERPATUTAN – LOKE

KOTA BHARU, 12 Mei (Bernama) — Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihaknya akan berusaha dan berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) agar tambang tiket penumpang yang ditetapkan pada masa akan datang adalah berpatutan untuk semua warganegara.

Beliau berkata sistem pengangkutan kereta api yang selamat dan menyeluruh turut akan menyumbang kepada pencapaian komponen-komponen konsep Malaysia Madani.

“Ia adalah kebertanggungjawaban semua pihak, untuk memastikan sesebuah infrastruktur nasional dapat dirasai semua golongan,” katanya dalam ucapan alu-aluan Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL Kota Bharu di Tunjong, di sini hari ini.

Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwish Abdul Razak.

Mengulas lanjut, Loke berkata Kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat dalam menentukan harga tiket penumpang

“Sudah tentu tambang itu juga berkonsepkan Rahmah supaya ia dapat dibiayai atau mampu dibelanjakan oleh rakyat, kita ambil kira supaya ia tidaklah terlalu membebankan,” katanya.
— BERNAMA