Berita

Bas MADANI jayakan misi kerajaan bantu rakyat

GEORGE TOWN – Yayasan Global Mesra melancarkan Bas Madani sebagai satu inisiatif dalam membantu menjayakan misi dibawa Kerajaan Perpaduan menerusi konsep Madani.

Penasihatnya, Datuk Seri Salim Abdul Rahman berkata, ia merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya yang mendokong penuh usaha kerajaan khususnya memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Jelas beliau, buat permulaan bas itu akan digunakan untuk membawa kira-kira 40 anak kariah Kampung Melayu, Air Itam untuk memeriahkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Terengganu pada 11 Mei nanti.

“Bagaimanapun, pergerakan mereka (anak kariah) lebih kepada pengagihan bakul Rahmah untuk golongan B40 di negeri itu.

“Kita akan agihkan sejumlah 3,000 bakul Rahmah pada hari berkenaan dan agihan itu merupakan CSR daripada syarikat kami.

“Bukan saja itu, bas Madani ini juga akan digunakan untuk membantu mangsa bencana pada masa hadapan. Kita akan bantu dalam melaksanakan kebajikan rakyat bukan untuk acara politik mahupun kempen,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Bas Madani di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Salim berkata, setakat ini, pihaknya telah mengagihkan 80,000 bakul Rahmah di seluruh negara.

Salim (tengah) bersama anak kariah Kampung Melayu yang akan terlibat dalam pengagihan bakul Rahmah di seluruh negara.

“Setiap bakul bernilai RM200 dengan isian barangan keperluan harian itu diagihkan menggunakan dana syarikat saya sebagai sokongan kepada Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelas beliau. – MalaysiaGazette