Berita

SPRM perkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Johor

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Johor bagi mempergiat usaha pencegahan rasuah, memperkasakan budaya integriti serta memantapkan amalan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran negeri.

SPRM berkata, kerjasama strategik itu menjadi landasan penting dalam memperkukuh akauntabiliti sektor awam, meningkatkan ketelusan pentadbiran serta memupuk keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.

“Komitmen tersebut dizahirkan menerusi kunjungan hormat Pengarah SPRM Johor, Datuk Hazrul Shazreen Abd Yazid kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar,” kata SPRM menerusi satu kenyataan media.

Menurut Hazrul Shazreen, kunjungan tersebut bertujuan mempererat hubungan kerjasama antara SPRM dengan Kerajaan Negeri, khususnya dalam mempergiat inisiatif pencegahan rasuah, memperkukuh penghayatan nilai integriti serta meningkatkan keberkesanan sistem tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti.

Katanya, pertemuan itu menjadi platform penting untuk SPRM dan Kerajaan Negeri bertukar pandangan serta menyelaraskan usaha dalam meningkatkan kesedaran integriti dan memperkukuh pelaksanaan inisiatif pencegahan rasuah dalam pentadbiran negeri.

“Kerjasama erat antara kedua-dua pihak amat penting bagi memastikan nilai integriti terus dibudayakan, manakala prinsip ketelusan dan akauntabiliti sentiasa menjadi keutamaan dalam penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Tambah beliau, SPRM Johor juga komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri dalam memperluas pelaksanaan program pencegahan rasuah dan pendidikan masyarakat, sekali gus menyemai budaya integriti dalam kalangan penjawat awam serta masyarakat. -MalaysiaMADANI