Dalam mendepani perubahan landskap industri global, Malaysia terus memperkukuh daya saing negara melalui kepelbagaian sektor perindustrian dan pasaran eksport.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, pihaknya komited menerajui transformasi perindustrian negara menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif strategik.
“Pelaksanaan inisiatif itu seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS),” kata MITI menerusi media sosialnya.
Tambahnya, inisiatif tersebut bertujuan memacu pertumbuhan industri berpotensi tinggi, meningkatkan penghasilan produk bernilai tambah serta memperluas akses perniagaan tempatan ke pasaran antarabangsa.
Menurutnya, usaha berterusan itu penting dalam membina ekonomi negara yang lebih berdaya tahan dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Selain itu, ia juga mampu memperkasa pembangunan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
