Berita

MED4IRN: Teliti kemajuan ekonomi digital negara, perkukuh daya saing

Ekonomi digital yang semakin berkembang pesat pada masa ini menuntut Malaysia memberi penekanan penuh dalam perkara tersebut supaya negara tidak tercicir.

Menyedari kepentingan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bilangan 3 Tahun 2026.

Perdana Menteri berkata, perbincangan diadakan bagi meneliti kemajuan ekonomi digital negara serta langkah memperkukuh daya saing Malaysia dalam mendepani perkembangan teknologi.

“Antara perkara yang diberi perhatian ialah pengukuhan infrastruktur digital, penjimatan perbelanjaan ICT Kerajaan dan dapatan kajian MyCC mengenai persaingan dalam ekosistem ekonomi digital,” kata beliau menerusi laman media sosialnya..

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi digital mesti berlandaskan persaingan yang adil.

Jelas beliau, ia termasuk menangani amalan platform yang boleh membebankan perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), melalui komisen tinggi, terma kontrak yang menyekat dan kawalan terhadap data pengguna.

Beliau berkata, Malaysia mahu ekonomi digital yang bukan sahaja menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan, tetapi turut membuka peluang yang adil kepada perniagaan tempatan, memudahkan urusan rakyat serta membawa manfaat yang dapat dirasai bersama. -MalaysiaMADANI