SHAH ALAM – Kerajaan menerusi beberapa kementerian berkaitan menganjurkan pelbagai program untuk membantu meringankan beban rakyat dengan kos sara hidup yang masih tinggi.
Turut tidak ketinggalan dalam usaha itu ialah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi beberapa jabatan dan agensinya menganjurkan Jualan Agro Madani sepanjang Ramadan baru-baru ini.
Menurut Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri, sebanyak 10 lokasi telah dikenal pasti untuk dianjurkan program itu bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat berbelanja secara berhemah.
Katanya, 10 lokasi itu tertumpu sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan tujuan untuk memberi pilihan kepada pengguna yang memerlukan di kawasan tersebut bagi mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan.
Jualan Agro Madani peringkat kebangsaan telah dilancarkan Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu di Dataran Usahawan, Johan Setia, dekat Klang baru-baru ini.
Menurut beliau, program Jualan Agro Madani merupakan projek rintis berkonsepkan jualan pada harga berpatutan yang berfokuskan kepada pengguna memerlukan.
“Ia juga merupakan platform dalam menyediakan ketersediaan dan akses kepada pengguna dalam mendapatkan barangan keperluan, seterusnya memberi luang pasaran kepada usahawan.
“Melalui program ini, komoditi jualan diperluaskan meliputi produk segar dan barang kawalan dengan penjimatan 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat bagi komoditi terpilih.
“Antara fokus lokasi melalui Jualan Agro Madani ini adalah di outlet peruncitan agensi bawah KPKM, Projek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan perumahan, kawasan miskin bandar dan pinggir bandar,” katanya.
Abdul Rashid menjelaskan, program jualan itu dilihat sebagai satu program “quick win” KPKM dalam membantu pengeluar memasarkan produk secara terus kepada pengguna.
Ini katanya, secara langsung dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama dalam komponen makanan melalui harga penjimatan yang ditawarkan.
Sasaran nilai jualan pula diletakkan kepada angka RM150,000 bagii 10 kali penganjuran Jualan Agro madani dengan anggaran lebih 5,000 pengunjung yang dapat menikmati penjimatan sebanyak RM45,000.
Menurut beliau, istimewanya Jualan Agro Madani itu, semua barangan pertanian segar terpilih dengan harga penjimatan sebanyak 30 peratus.
Barangan itu seperti sayur, buah, ayam proses, telur, ikan, gula, minyak masak dan lain-lain lagi.
Selain itu, terdapat juga promosi Kombo madani-Jualan Berpakej yang ditawarkan pada harga istimewa serta penyertaan jualan dari pengilang dan pemproses produk agro-makanan. – MalaysiaGazette