Berita

Malaysia-Argentina bincang usaha teroka potensi kerjasama lebih mendalam

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperkukuhkan hubungan dan mengembangkan kerjasama dalam bidang ekonomi bersama Argentina. 

Terbaharu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Argentina ke Malaysia, PYT Marta Laura Gabrieloni di Menara MITI, Kuala Lumpur.

MITI berkata, perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala melalui platform kerjasama sedia ada.

“Selain itu, kedua-dua negara berusaha meneroka potensi kerjasama yang lebih mendalam bagi memperluas akses pasaran dalam sektor strategik seperti pertanian dan pemindahan teknologi,” kata MITI menerusi laman media sosialnya. 

Selain itu menurutnya, Malaysia juga mengalu-alukan kerjasama dalam pembangunan industri halal termasuk aspek pembangunan kapasiti, kebolehkesanan rantaian bekalan dan pemadanan perniagaan.

Jelasnya, pertemuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam mengeratkan hubungan dua hala dalam bidang perdagangan, pelaburan serta kerjasama strategik di rantau ini. 

Pada tahun 2025,  Argentina merupakan rakan ekonomi keempat terbesar bagi Malaysia di rantau Amerika Latin. -MalaysiaMADANI