Berita

Agihan dividen tertinggi dalam tujuh tahun, bukti keupayaan terbaik ASNB 

Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agihan dividen itu merupakan kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun dan meningkat daripada 4.75 sen seunit pada 2025.

“Bagi pemegang unit beragama Islam yang memilih kaedah pembayaran Zakat Khultah, kadar ini bersamaan anggaran 4.87 peratus selepas zakat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Beliau berkata, pencapaian baik itu mencerminkan keupayaan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengurus amanah pelaburan dengan baik dalam mendepani persekitaran pasaran global yang penuh cabaran.

Tambah beliau lagi, tatakelola yang baik bukan sekadar memastikan tiada ketirisan dan salah guna, tetapi juga menuntut kecekapan mengurus amanah, mencipta nilai dan memastikan hasilnya kembali memberi manfaat kepada rakyat.

“Moga pengagihan ini dapat membantu memperkukuh simpanan dan perancangan kewangan rakyat demi masa hadapan yang lebih baik. Insya-Allah,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI