Berita

Fasiliti, perkhidmatan Hospital Taiping diperkasa

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa peka dan komited terhadap keperluan semasa yang diperlukan di hospital terutama memberi keselesaan kepada orang ramai. 

KKM berkata, bagi memelihara keselesaan dan kesejahteraan rakyat, tindakan proaktif dilaksanakan menerusi kerja-kerja penambahbaikan berterusan di Hospital Taiping, Perak.

Menurutnya, inisiatif pengukuhan tersebut merangkumi pelbagai aspek utama seperti kerja-kerja naik taraf, ubah suai dan pembaikan fasiliti utama termasuk wad serta tandas. 

“Bagi pemerkasaan kapasiti rawatan, perolehan peralatan perubatan terkini seperti Cardiac Stress Test, Hydraulic Bariatric Bed, Bilirubinometer, Reverse Osmosis Water Purification System dan Milk Pasteurizer telah disediakan.  

“Melancarkan operasi hospital, perolehan kelengkapan sokongan seperti kerusi menunggu dan alat penghawa dingin ditambah, selain penyediaan Sistem Giliran QMS bagi mengurangkan kesesakan,” kata KKM menerusi laman media sosialnya.  

Katanya, projek penambahbaikan telah dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak Hospital Taiping sebelum ini bagi menerusi naik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma serta pembaharuan lantai wad psikiatri.  

Menurutnya, KKM sentiasa berusaha memastikan setiap usaha diterjemahkan secara nyata kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih pantas, selesa dan berkualiti untuk seluruh rakyat. -MalaysiaMADANI