Delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengadakan satu sesi libat urus strategik bersama dua syarikat gergasi China sebaik sahaja tiba di Shanghai.
Perdana Menteri berkata, sesi libat urus strategik itu melibatkan antara Bank Rakyat bersama dua gergasi teknologi China iaitu Alibaba Cloud dan Lenovo yang kini sedang meneroka kerjasama dalam bidang teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) serta fintech.
“Saya menyambut baik ikhtiar transformasi serta komitmen Bank Rakyat dalam memperkukuh keupayaan digitalnya menerusi usaha meneroka peluang kerjasama yang lebih luas merentasi pelbagai lapangan perniagaan Alibaba.
“Selain itu saya turut mengalu-alukan penglibatan Lenovo sebagai rakan ekosistem dalam Hab Komuniti Fintech Bank Rakyat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Tambah beliau lagi, sinergi strategik yang dilaksanakan itu bakal membuka ruang perkongsian teknologi, kepakaran dan pengalaman yang dapat memperkasa PMKS, gerakan koperasi serta usahawan tempatan.
Di samping itu kata beliau, kerjasama seumpama itu juga berupaya memacu penyampaian perkhidmatan digital yang lebih cekap, inklusif dan berkualiti.
“Matlamat kita jelas bahawa setiap kerjasama strategik yang dibina harus membawa limpahan nilai kepada ekonomi negara serta meningkatkan daya saing Malaysia.
“Akhirnya yang paling utama adalah memberi serta menjamin manfaat yang bermakna kepada rakyat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
