Cipta sejarah tersendiri, ‘Paddy Art’ di Laman Padi sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori ‘Formasi Seni Padi Terbesar’ negara.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, Paddy Art berukuran 119 kaki x 126 kaki itu telah dirasmikan oleh Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Katanya, berteraskan tema MAHA 2026 iaitu Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan, Laman Padi mempamerkan ekosistem subsektor padi dan beras secara menyeluruh.
“Ia bermula daripada peringkat penanaman padi, pemprosesan beras sehingga penggunaan semula sisa tanaman padi,” kata KPKM menerusi laman media sosialnya..
MAHA 2026 yang diadakan di MAEPS Serdang, Selangor menghimpunkan pesawah, pemain industri, penginovasi serta masyarakat dalam satu platform yang mengetengahkan kemajuan dan masa depan subsektor padi dan beras negara.
Menurutnya, pengiktirafan MBOR bagi ‘Formasi Seni Padi Terbesar’ tersebut direalisasikan melalui kerjasama strategik dengan pihak swasta, Serba Wangi Sdn. Bhd. menerusi jenama Jati.
Katanya, pencapaian itu membuktikan bahawa padi dan beras bukan sahaja penting sebagai sumber makanan, malah mempunyai potensi untuk diterjemahkan dalam bentuk seni serta menjadi tarikan agropelancongan yang mampu mencipta nilai baharu.
Menurut KPKM, sepanjang 10 hari penganjuran MAHA 2026 berlangsung, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran dan jualan, demonstrasi masakan, demonstrasi pemprosesan padi kepada beras, teknologi mekanisasi dan automasi serta sukan rakyat. -MalaysiaMADANI
