Berita

Nahas 11 kenderaan: PM ucap takziah, minta siasatan teliti

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa satu siasatan terperinci dilakukan berhubung kemalangan maut membabitkan 11 kenderaan di Kilometer (KM) 110.4 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), arah Lanchang menghala Kuantan, Pahang pada Isnin. 

Menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa, Perdana Menteri turut mendoakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian besar tersebut.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Takziah kepada seluruh keluarga mangsa tragedi kemalangan di Temerloh yang meragut nyawa, termasuk sebuah keluarga yang sedang dalam perjalanan pulang selepas menyambut Hari Kebangsaan.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan mengurniakan kekuatan serta ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri meminta pihak berwajib menjalankan siasatan dengan teliti bagi mengenal pasti punca kejadian. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan semua pengguna jalan raya agar berhati-hati, patuhi peraturan dan utamakan keselamatan diri serta keluarga setiap kali berada di jalan raya.

Dalam kejadian tersebut, empat individu termasuk pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka maut dalam kemalangan itu.

Polis memaklumkan menerima laporan mengenai kemalangan itu kira-kira 10.55 malam, membabitkan sebuah lori tangki yang membawa muatan simen, sebuah bas dan sembilan kereta yang bergerak ke arah timur. -MalaysiaMADANI