Kesungguhan semua pihak termasuk individu di belakang tabir menjayakan sambutan Hari Kebangsaan dengan cemerlang mendapat pujian besar daripada seluruh rakyat Malaysia.
Tidak ketinggalan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberikan ‘tabik hormat’ dan rasa berterima kasih di atas segala jasa dihulurkan.
“Salut saya kepada seluruh petugas yang telah mencurahkan tenaga, masa dan keringat bagi menjayakan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” kata beliau menerusi laman media sosialnya..
Beliau berkata, penghargaan dan ucapan terima kasih diberikan kepada seluruh anggota keselamatan, penjawat awam, pasukan teknikal dan perubatan, petugas kebersihan, para kontinjen, penggiat seni, warga media sehinggalah anak-anak dan para sukarelawan.
Menurut beliau, setiap daripada kalian telah memainkan peranan bermakna dalam memastikan sambutan ini berlangsung dengan tertib, meriah dan penuh jiwa merdeka.
Selain itu kata beliau, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada seluruh rakyat yang sanggup berkampung di Putrajaya sejak malam demi bersama-sama memeriahkan sambutan kali ini.
Jelas beliau, perkara seumpama ini adalah nilai semangat kebersamaan yang sangat didambakan, berhimpun dalam satu tekad, meraikan kemerdekaan serta memperkukuh perpaduan.
“Semangat, disiplin dan kebersamaan yang ditampilkan mencerminkan wajah sebenar Malaysia, sebuah negara yang teguh kerana rakyatnya bersatu dan saling melengkapi,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
