Berita

ACL-27: Malaysia-Brunei capai kata sepakat untuk kerjasama pengurusan bencana

Malaysia-Brunei mencapai matlamat digariskan khususnya dalam memperkukuh hubungan persaudaraan serta kerjasama strategik bagi memperoleh manfaat besar demi kepentingan bersama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan baik itu adalah hasil pertemuan bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 (ACL-27) di Bandar Seri Begawan.

Dalam pertemuan itu, beliau berkata, Malaysia-Brunei memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pengurusan Bencana antara kedua-dua negara.

“Ikhtiar ini bukan sahaja penting dalam melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara, malah melengkapi inisiatif di peringkat ASEAN dalam mendepani cabaran bencana yang semakin kompleks,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Dalam pertemuan itu, Sultan Brunei berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K) kepada Perdana Menteri.

Kata Perdana Menteri lagi, pertemuan istimewa itu turut membuka ruang kepada Malaysia dan Brunei untuk bertukar pandangan secara terbuka dan penuh mesra terkait pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama.

Jelas beliau, ia berteraskan hubungan akrab, kepercayaan dan persahabatan istimewa yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Brunei.

“Penghargaan setulusnya buat Negara Brunei Darussalam atas sambutan mesra dan layanan baik kepada saya serta seluruh delegasi Malaysia sepanjang keberadaan singkat kami ini.

“Mendoakan Negara Brunei Darussalam kekal menikmati kemakmuran, kesejahteraan dan rakyatnya hidup aman sejahtera di bawah naungan Paduka Seri Baginda Tuanku,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI