Berita

Pendidikan negara tidak boleh lagi berada dalam kerangka lama -PM

Malaysia memerlukan sebuah sistem pendidikan mampan bagi membentuk generasi berilmu selaras dengan perkembangan semasa yang semakin mencabar dan dinamik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara tidak boleh terus bergerak dengan kerangka lama sedangkan dunia pendidikan, ilmu dan teknologi berubah begitu pantas.

Sehubungan itu beliau berkata, situasi tersebut menuntut langkah berani dalam melakukan perubahan yang besar dan berani.

“Perkara ini saya tekankan ketika menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 di Universiti Malaya, khususnya mengenai keperluan membentuk kerangka baharu Akta Pendidikan Tinggi yang selari dengan aspirasi transformasi pendidikan negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.. 

Jelas beliau, akta itu tidak seharusnya menjadi instrumen untuk memperkukuh kuasa pihak luar terhadap dunia akademik.

Sebaliknya kata beliau, ia memberikan ruang yang lebih luas kepada universiti untuk mengurus tadbir secara berautonomi, memperkasa kebebasan akademik dan bertanggungjawab terhadap perkembangan ilmu.

Untuk itu, Perdana Menteri mengarahkan agar tindakan disiplin terhadap mahasiswa yang dikenakan hukuman semata-mata kerana menyuarakan pandangan atau kritikan kepada pimpinan negara dilepaskan serta-merta. 

“Sayugia, universiti mesti menjadi medan ilmu, pemikiran dan perbahasan yang bebas, melonggarkan kekangan birokrasi dan berani melakukan perubahan agar pendidikan tinggi negara terus maju serta mampu membentuk masa depan Malaysia,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI