Berita

Belanjawan 2027: Kerajaan teliti, ambil kira pandangan semua pihak

Kerajaan bersedia untuk meneliti dan mengambil kira semua pandangan daripada pelbagai pihak bagi merangka Belanjawan 2027 komprehensif, seterusnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini.

Perkara tersebut merupakan satu keutamaan terutama dalam usaha Kerajaan MADANI memastikan agenda reformasi ekonomi dapat diperkukuh dan mengekalkan momentum baik sedia ada.

Atas hasrat tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 yang menghimpunkan hampir 400 wakil daripada pelbagai lapangan untuk mengemukakan pandangan dan cadangan dalam merangka Belanjawan MADANI Kelima.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir, termasuk wakil agensi Kerajaan, sektor swasta dan industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta pertubuhan antarabangsa.

“Kalian membawa suara, keresahan dan harapan pelbagai lapisan masyarakat. Cadangan dan teguran yang dikemukakan akan membantu kita dalam membentuk Belanjawan MADANI yang benar-benar menjawab persoalan rakyat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Tegas beliau, reformasi ekonomi mesti diteruskan, teknologi dan pelaburan baharu mesti dipacu supaya negara tidak ketinggalan. 

Beliau berkata, angka pertumbuhan dan pencapaian makro tidak harus menjadikan semua pihak alpa terhadap kesenjangan, kemiskinan serta tekanan kos sara hidup yang masih menghimpit sebahagian rakyat.

“Tatkala kita menggapai di langit, kita mesti kekal mengakar di bumi dan mendengar denyut nadi rakyat di akar umbi. 

“Setiap pandangan akan diperhalusi sebelum Belanjawan 2027 dimuktamadkan, Insya-Allah,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI