Permasalahan dan rintihan rakyat memerlukan bantuan terutama melibatkan keperluan asas serta tempat kediaman selesa sentiasa menjadi tumpuan utama Kerajaan MADANI.
Rumah yang selamat dan selesa bukan sekadar tempat berteduh, sebaliknya menjadi asas kepada kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah.
Justeru itu, Pasukan Penyelarasan PMX, ICU JPM Kelantan terus komited memastikan golongan yang memerlukan mendapat kediaman yang lebih baik menerusi penyerahan Rumah Kasih Ihsan di Jeli, Kelantan.
ICU JPM Kelantan berkata, majlis penyerahan bantuan tersebut telah disampaikan oleh Pengarah ICU JPM Kelantan, Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail.
Bagi rumah pertama, katanya, Surat Setuju Terima (SST) pembinaan rumah disampaikan kepada Yusof Mohamad Nawi di Kampung Renyut, Jeli bagi menggantikan kediaman sedia ada dengan keselesaan dan keselamatan yang lebih baik.
Tambahnya, rumah kedua milik Shamsul Bahri Che Musa telah siap dibina dan diserahkan kepada penerima.
Selain itu katanya, sumbangan bakul makanan turut diberikan sebagai tanda keprihatinan kepada kedua-dua penerima.
“Usaha ini membuktikan bahawa pembangunan yang bermakna bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal, tetapi sejauh mana manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat,” kata ICU JPM Kelantan menerusi laman media sosialnya.
Jelasnya, rumah yang lebih selamat bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, malah membina harapan, keyakinan dan kehidupan yang lebih sejahtera, sebagaimana dizahirkan melalui rasa syukur dan kegembiraan para penerima. -MalaysiaMADANI
