Berita

KESUMA perkukuh pengurusan pekerja asing, utamakan pekerja tempatan

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memastikan pengurusan dan penggajian pekerja asing dilaksanakan secara sistematik namun dalam masa sama tidak mengenepikan hak pekerja tempatan.

Untuk itu, KESUMA dalam kenyataannya berkata, satu Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing Bilangan 2/2026 telah diadakan bagi membincangkan perkara tersebut secara terperinci.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mempengerusikan mesyuarat tersebut dan dihadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

“Mesyuarat memberi tumpuan kepada pengurusan penggajian pekerja asing secara teratur, telus dan berintegriti.

“Selain penegasan bahawa keutamaan terhadap pekerja tempatan perlu terus diperkukuh,” kata KESUMA menerusi laman media sosialnya.

Pada masa yang sama, menurutnya, kebergantungan kepada pekerja asing perlu diurus secara strategik berdasarkan keperluan sebenar sektor dan industri.

Jelasnya, ia selaras dengan usaha Kerajaan MADANI memperkemas ekosistem penggajian pekerja asing agar lebih cekap dan bertanggungjawab.

Tegasnya, KESUMA kekal komited memastikan pengurusan pekerja asing dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan pasaran buruh, pematuhan undang-undang perburuhan serta kebajikan pekerja. -MalaysiaMADANI