Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih di atas kematian bekas Perdana Menteri Republik Rakyat China, Zhu Rongji pada usia 97 tahun.
Merasai kehilangan seorang sahabat yang baik, Perdana Menteri berkata, China telah kehilangan salah seorang tokoh utama yang mencorakkan transformasi ekonomi negara itu.
Kata beliau, pembaharuan yang dilaksanakan oleh Zhu membantu mempercepatkan kebangkitan luar biasa China sebagai kuasa ekonomi utama dunia.
“Pada tahun 1990-an, Zhu dan saya bekerjasama untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan kewangan antara Malaysia dan China.
“Sebahagian besar perkara yang kami bina pada era tersebut masih menjadi asas kepada hubungan kedua-dua negara hingga hari ini.
“Namun, kenangan peribadi saya terhadap beliau jauh melangkaui urusan kenegaraan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, Zhu pernah mengatur lawatan ke kampung halaman Confucius, termasuk ke Gunung Tai yang megah serta ke tapak-tapak bersejarah yang berkaitan dengan Laksamana Zheng He.
Pada satu lagi kesempatan, menurut beliau, Zhu telah berkunjung ke perpustakaan peribadi milik dirinya.
Menurut beliau, Zhu telah mengejutkannya dengan menghadiahkan beberapa karya klasik China yang dipilih sendiri dan karya-karya itu masih disimpan sehingga hari ini.
Tambah beliau, Zhu merupakan seorang negarawan yang disegani dan akan sentiasa mengingati mendiang sebagai seorang insan yang mempunyai peribadi yang tinggi, didorong oleh rasa tanggungjawab yang mendalam terhadap negaranya.
“Takziah saya yang sedalam-dalamnya kepada isteri dan anak-anak beliau, serta seluruh rakyat China,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
