Berita

MITI pastikan lima projek pembangunan di Sabah ikut perancangan, siap dalam tempoh ditetapkan

Memastikan pembangunan Negeri Sabah bergerak seiring dengan kemajuan negara, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terus mengadakan perbincangan dan kerjasama erat bersama Kerajaan Negeri.

Untuk itu, Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hairil Yahri Yaacob telah menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

MITI dalam kenyataannya berkata, mesyuarat tersebut antara lain membincangkan dan menyelaras kemajuan pelaksanaan projek-projek pembangunan di Negeri Sabah. 

Pada tahun ini, menurutnya, sebanyak lima projek pembangunan di bawah MITI sedang dilaksanakan di Sabah, melibatkan tiga kawasan perindustrian utama iaitu Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) dan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM37.4 juta.

“Dalam mesyuarat tersebut, Hairil turut membentangkan perkembangan terkini pelaksanaan projek-projek berkenaan, termasuk cabaran yang dihadapi serta langkah-langkah yang sedang diambil bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut perancangan,” kata MITI menerusi laman media sosialnya. 

Dalam pada itu katanya, Hairil menekankan kepentingan agar kesemua projek tersebut dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan supaya manfaatnya dapat direalisasikan sepenuhnya dalam menyokong pembangunan industri dan pertumbuhan ekonomi Negeri Sabah.

Secara keseluruhan menurutnya, MITI kekal komited untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan setiap projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar, berkesan dan mencapai objektif yang ditetapkan. 

“Pelaksanaan projek-projek ini diharap dapat terus memperkukuh ekosistem perindustrian dan pelaburan negeri, merancakkan aktiviti ekonomi, membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan, serta menjana limpahan ekonomi yang dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat Sabah,” ujarnya. -MalaysiaMADANI