Berita

Sultan Hassanal Bolkiah doakan kesihatan, kesejahteraan buat PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Menerusi panggilan tersebut, Perdana Menteri berkata, Baginda Sultan dengan penuh keprihatinan bertanya khabar, mendoakan kesihatan dan kesejahteraan setelah menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut. 

“Menjunjung kasih atas doa dan keprihatinan Kebawah Duli Tuanku,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri turut mendoakan agar Kebawah Duli Tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.

“Insya-Allah, saya akan menghadap Kebawah Duli Tuanku pada minggu hadapan di Bandar Seri Begawan sempena Rundingan Tahunan Pemimpin (ALC) Ke-27 antara Malaysia dengan Negara Brunei Darussalam,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI