Usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) membantu negara melahirkan modal insan berkemahiran tinggi menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuahkan hasil.
Menerusi Majlis Konvokesyen ADTEC JTM Kali Ke-29 Tahun 2026 Wilayah Timur, seramai 357 pelajar daripada enam institut ADTEC JTM telah berjaya bergelar graduan.
Majlis konvokesyen bagi sidang pertama telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof, manakala sidang kedua dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KESUMA, Dr Mohd Shaharin Umar.
Kedua-dua sidang menghimpunkan graduan daripada ADTEC JTM Kampus Jerantut, Kuantan, Kemaman, Marang, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
KESUMA berkata, konvokesyen itu bukan sekadar meraikan kejayaan akademik, malah menjadi simbol kegigihan, dedikasi serta penguasaan kemahiran yang menjadi bekalan penting untuk graduan melangkah ke alam pekerjaan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri serta negara.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, agenda TVET terus diperkasa bagi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan,” kata KESUMA menerusi laman media sosialnya.
Katanya, pendekatan tersebut turut mendukung nilai kesejahteraan dan daya cipta melalui pembangunan modal insan, penguasaan teknologi serta pembelajaran sepanjang hayat.
Sehubungan itu menurutnya, KESUMA merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh graduan ADTEC JTM Wilayah Timur.
“Semoga ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh menjadi asas kepada pembinaan kerjaya yang cemerlang serta masa depan yang lebih gemilang,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
