Berita

KKM perkukuh perkhidmatan kepada masyarakat Orang Asli RPS Kemar, baik pulih klinik kesihatan 

Kebajikan warga Orang Asli menjadi perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila Program Community Feeding (PCF) Orang Asli di RPS Kemar, Gerik, Perak dilaksanakan bagi memperkukuh perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan tersebut.

Dalam program tersebut, KKM meluluskan peruntukan serta-merta sebanyak RM500,000 bagi menambah baik kemudahan di Klinik Kesihatan (KK) Kemar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, PCF merupakan intervensi pemakanan berfokus kepada kanak-kanak Orang Asli berumur 6 bulan hingga 6 tahun melalui active feeding, susu tepung penuh krim, multivitamin dan RUTF bagi kes kekurangan zat makanan.

Beliau berkata, pelaksanaan berterusan di Pos Kemar menunjukkan impak positif selepas sedekad. 

“Daripada tahun 2015 hingga 2025, kadar bantut menurun 75.2 peratus kepada 50.8 peratus dan kurang berat badan 43.7 peratus kepada 25.2 peratus. 

“Ini membuktikan intervensi pemakanan berasaskan komuniti mampu mengubah status kesihatan,” kata beliau menerusi laman media sosial KKM. 

Kata beliau lagi, KKM komited memastikan masyarakat Orang Asli dan pedalaman mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, adil dan menyeluruh demi kesejahteraan semua. 

Menerusi peruntukan diberikan, beliau berkata, tumpuan penambahbaikan akan diberikan kepada pembinaan Rumah Penyimpanan Bot yang baharu.

Jelas beliau, kemudahan tersebut memikul tanggungjawab besar dalam menyalurkan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti Orang Asli yang amat bergantung kepada kemudahan itu, ekoran kemudahan sedia ada telah berusia lebih 11 tahun dan semakin usang. 

Tambahnya, rumah penyimpanan bot itu hanya mampu memuatkan sebuah bot sahaja, selain ia turut menyukarkan kerja perlindungan serta penyelenggaraan aset penting tersebut. 

Sementara itu katanya, peruntukan turut disalurkan bagi perolehan aset seperti pacuan empat roda bagi menggantikan kenderaan sedia ada yang sudah uzur dan pembelian kelengkapan perubatan kritikal yang amat diperlukan bagi melancarkan proses intubasi ketika mengendalikan kes kecemasan. -MalaysiaMADANI