Nahas jalan raya merupakan cabaran kesihatan awam yang amat getir kepada negara dan ia menjadi penyumbang kelima tertinggi kepada kematian pramatang di Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), secara purata seramai 18 orang terbunuh akibat kemalangan jalan raya setiap hari di negara ini.
Lebih membimbangkan, kata beliau, peratusan kematian tertinggi iaitu sebanyak 59 peratus adalah berpunca daripada golongan penunggang motosikal dan kesannya kepada institusi kekeluargaan serta ekonomi adalah amat mendalam.
Menurut beliau, berdasarkan Nilai Kehidupan Statistik (VSOL), kerajaan menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM3.12 juta bagi setiap satu nyawa yang terkorban.
“Ini bukan sekadar angka, ia mewakili ketua keluarga, anak muda yang menjadi harapan serta modal insan produktif yang hilang sekelip mata.
“Berapa ramai isteri muda yang tiba-tiba terpaksa bergelar balu? Berapa ramai anak kecil yang kini membesar sebagai yatim?,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, meskipun menyokong penuh niat baik dan semangat silaturahim penganjuran program konvoi mega, namun siri kemalangan maut yang terus berulang dari edisi pertama hinggalah ke penganjuran RXZ Members 8.0 baru-baru ini amat merisaukan.
Katanya, selain pihak penganjur mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan keselamatan setiap peserta terjamin, pemanduan berhemah dan advokasi keselamatan jalan raya perlu dijadikan sebagai agenda wajib dalam setiap penganjuran.
Dari satu sudut menurutnya, setiap kali lonjakan kes kemalangan berlaku dalam satu-satu masa, seluruh sumber hospital bermula daripada bekalan darah, peralatan pengimejan, dewan bedah, hinggalah kepada tenaga pakar pelbagai disiplin terpaksa digerakkan dan dialihkan.
“Inilah realiti sistem kesihatan kita iaitu satu peratus tenaga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalas tanggungjawab menguruskan 99 peratus populasi rakyat Malaysia.
“Hentikan penggunaan slogan lama, ayuh budayakan slogan baharu yang lebih membawa mesej kesederhanaan dan keselamatan: ‘Yang Santai, Pasti Sampai‘,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
