Berita

Malaysia-Brunei kukuh hubungan ekonomi, cipta potensi kerjasama dalam sektor strategik 

Selain memperkukuhkan hubungan sedia ada, Malaysia-Brunei bersetuju mengadakan kerjasama erat dalam bidang ekonomi dan perdagangan dua hala bagi memperoleh manfaat bersama.

Perbincangan tersebut disertai Menteri Kewangan II Brunei Darussalam, Datuk Seri Dr Awang Amin Liew Abdullah dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Sim Tze Tzin.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, tumpuan mesyuarat membabitkan penerokaan peluang kerjasama baharu, pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan.

Selain itu katanya, perbincangan memfokuskan kepada usaha mempertingkat pemudahcaraan perdagangan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif demi manfaat bersama kedua-dua negara.

“Perbincangan turut meliputi potensi kerjasama dalam sektor-sektor strategik bernilai tambah tinggi seperti industri elektrikal dan elektronik, khususnya semikonduktor, ekonomi digital, keselamatan makanan serta aktiviti hiliran minyak dan gas,” kata MITI menerusi laman media sosialnya. 

Tambahnya, persetujuan melakukan kerjasama dalam bidang-bidang tersebut berpotensi memperkukuh daya saing industri, meningkatkan rantaian nilai serta membuka peluang pelaburan baharu antara kedua-dua negara.

Menurutnya, mesyuarat yang dilaksanakan itu juga mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan ekonomi sedia ada, di samping meneroka peluang kerjasama strategik yang berimpak tinggi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serantau.

“MITI kekal komited dalam memperluas jaringan perdagangan dan pelaburan serantau serta memperkukuh peranan Malaysia sebagai rakan ekonomi strategik dalam ASEAN melalui kerjasama yang progresif, inklusif dan berdaya saing,” ujarnya. -MalaysiaMADANI