Keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan dan kesejahteraan komuniti diterjemahkan menerusi penganjuran Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) di seluruh negara.
Menerusi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Program KAM dan SAM yang terkini telah dilancarkan di Kampung Pendam, Sadong Jaya, Sarawak.
Ia sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti serta meningkatkan kualiti persekitaran pembelajaran menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
Majlis peluncuran disempurnakan oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Ahmad Nadzri Mohd Hassan. Hadir sama Ketua Pengarah JPPM, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad.
KDN berkata, pelaksanaan KAM dan SAM merupakan manifestasi komitmen Kerajaan MADANI melalui pendekatan berteraskan keperluan komuniti setempat.
Katanya, Kampung Pendam dipilih sebagai penerima manfaat Program Kampung Angkat MADANI, manakala Sekolah Kebangsaan Kampung Pendam menerima pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI dengan nilai keseluruhan projek sehingga RM600,000.
“Menerusi pelaksanaan program ini, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan termasuk menaik taraf kemudahan awam, memperkukuh aspek keselamatan dan keselesaan komuniti.
“Selain itu, kerja-kerja menambah baik kemudahan pendidikan dan digital di sekolah akan dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, kondusif serta inklusif,” katanya.
Majlis turut dimeriahkan dengan Jualan Rahmah MADANI, pameran agensi kerajaan, kaunter perkhidmatan bergerak, pemeriksaan kesihatan serta pelbagai aktiviti yang mendekatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat.
“Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui pendekatan Whole of Government yang memanfaatkan komuniti secara menyeluruh,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
