Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha memperkasakan agenda antirasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman menegaskan bahawa sinergi antara kedua-dua organisasi tersebut amat penting bagi memperkasakan amalan tadbir urus yang telus dan berintegriti.
Beliau menyatakan perkara itu ketika menerima kunjungan hormat Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Jumaat.
Pertemuan strategik yang berlangsung selama 30 minit tersebut menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak berkongsi pandangan dan pengalaman terutamanya berkaitan dengan projek-projek KKR di seluruh negara.
Sementara itu, Azman berkata, KKR mengambil cakna dan memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan infrastruktur, terutamanya pembaikan jalan raya serta fasiliti di seluruh negara khususnya di Sabah dan Sarawak.
Kata beliau, isu kerosakan dan kedaifan fasiliti tersebut telah dibawa terus kepada pengetahuan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian yang berkaitan bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
“Lawatan berkala turut diadakan termasuk ke Sabah dan Sarawak atas dorongan peribadi dan empati terhadap masyarakat di kawasan pedalaman,” katanya.
Turut hadir dalam perjumpaan itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi; Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada KSU KKR, Dr. Zarabizan Zakaria dan Pegawai Khas kepada KSU KKR, Muhammad Afifi Shakir Mahmood Sabri. -MalaysiaMADANI
