Berita

Transformasi digital perkasa perkhidmatan KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh agenda transformasi digital apabila projek ‘Digitalisasi Proses Penyediaan Jawapan Pertanyaan Parlimen di Kementerian Dalam Negeri’ menerima pengiktirafan.

Kementerian itu berkata, pengiktirafan itu diterima sempena Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Tahun 2026.

Katanya, pencapaian tersebut membuktikan komitmen KDN dalam mempercepat reformasi penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan proses kerja yang lebih cekap, sistematik dan berintegriti bagi menyokong tadbir urus kerajaan yang responsif.

Melalui pelaksanaan projek itu menurutnya, KDN berjaya memperkukuh proses penyediaan jawapan pertanyaan Parlimen dengan pelbagai penambahbaikan, antaranya mempercepat penyediaan jawapan pertanyaan Parlimen melalui proses kerja yang lebih pantas, tersusun dan sistematik.

“Selain itu, ia juga meningkatkan ketelusan serta kawalan dokumen secara digital, sekali gus memperkukuh integriti pengurusan maklumat,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.

Tambahnya lagi, projek tersebut juga berjaya memudahkan akses kepada maklumat bersepadu, sekali gus meningkatkan kecekapan penyelarasan antara bahagian, jabatan dan agensi di bawah KDN.

Menurutnya, pihak kementerian berupaya mengoptimumkan penggunaan teknologi digital bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, telus dan berkesan.

Tegasnya, inisiatif tersebut mencerminkan iltizam KDN untuk terus memacu transformasi digital sebagai pemangkin utama kepada reformasi perkhidmatan awam, selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan aspirasi Malaysia MADANI.

“Pendigitalan bukan sahaja memperkukuh kecekapan organisasi, malah meningkatkan keupayaan KDN dalam menyampaikan maklumat yang tepat pada masanya, mempercepat proses membuat keputusan serta memastikan perkhidmatan kerajaan sentiasa memenuhi harapan rakyat,” ujarnya. -MalaysiaMADANI