Berita

Penguatkuasaan ketat, pencerobohan nelayan asing turun hampir 74 peratus

Aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan asing (VNA) ke perairan negara mencatat penurunan sebanyak 73.8 peratus dalam tempoh lima tahun susulan penguatkuasaan ketat pelbagai agensi maritim.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, sebanyak 546 kes tangkapan VNA direkodkan bermula 2020 hingga tahun lalu menerusi operasi penguatkuasaan ketat secara berterusan.

Beliau berkata, jumlah tangkapan mencatat penurunan daripada 126 kes pada 2021 kepada 33 kes pada 2025 dan ia membuktikan keberkesanan tindakan penguatkuasaan dijalankan di perairan negara.

“Hasil kerjasama penguatkuasaan yang dilaksanakan secara bersepadu, sebanyak 546 kes tangkapan VNA direkodkan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencatatkan 474 kes atau 86.8 peratus daripada keseluruhan tangkapan.

“Pasukan polis Marin pula merekodkan 53 kes, manakala Jabatan Perikanan sebanyak 19 kes,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kata beliau, aktiviti IUU Fishing masih menjadi cabaran utama dalam usaha memelihara sumber perikanan negara, berikutan taktik yang digunakan semakin kompleks dan sukar dikesan.

Menurutnya, antara modus operandi yang dikenal pasti termasuk mematikan Sistem Pemantauan Vesel (VMS), memanipulasi data pendaratan hasil perikanan, menceroboh kawasan perikanan yang tertakluk kepada syarat pelesenan tertentu serta pencerobohan vesel pukat tunda komersial ke Zon A.

Jelasnya, aktiviti IUU Fishing bukan sahaja menyebabkan kehilangan sumber perikanan negara, malah boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem marin dan sumber pendapatan komuniti nelayan tempatan.

“DOF akan terus memperkukuh penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 serta meningkatkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa maritim bagi memastikan sumber perikanan negara terus dilindungi,” ujarnya.  -MalaysiaMADANI