Berita

Jangan selesa dengan pencapaian semasa -PM

Kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, pelaburan atau peluang pekerjaan tetapi sejauh mana keadilan dan kesaksamaan dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masyarakat tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian semasa, sebaliknya terus berikhtiar melakukan yang lebih baik.

Beliau berkata, tokoh besar seperti B.R. Ambedkar telah bangkit daripada latar masyarakat yang sering dipinggirkan dan dihina, mengajar kita bahawa perjuangan menegakkan keadilan, maruah insan dan peluang yang saksama mesti sentiasa menjadi keutamaan.

“Dalam semangat sama, saya mengulangi peringatan Mahatma Gandhi bahawa dunia ini cukup untuk memenuhi keperluan semua, tetapi tidak akan pernah cukup untuk memenuhi ketamakan segelintir pihak,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Terdahulu Perdana Menteri menyantuni pelajar Universiti AIMST di Bedong, Kedah sempena Majlis Serahan Geran Kerajaan Tahunan serta sesi dialog Temu Anwar yang berlangsung dalam suasana terbuka dan penuh makna.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, nilai ihsan, hormat-menghormati dan kesederhanaan harus terus menjadi pedoman dalam membina masyarakat yang beradab.

Justeru itu kata beliau, generasi muda harus tampil dengan idealisme yang segar, menolak politik kebencian serta perkauman, seterusnya menentukan masa depan negara berasaskan ilmu, perpaduan dan keadilan.

Tegas beliau, Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan prinsip keadilan untuk semua termasuk golongan memerlukan seperti kumpulan pelajar daripada keluarga memerlukan. 

Menurut beliau, selain penyerahan geran tahunan RM25 juta kepada AIMST, kerajaan turut bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membantu lebih ramai pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapat akses pendidikan lebih baik di universiti tersebut.

“Saya turut merakamkan penghargaan kepada mendiang Tun S. Samy Vellu atas jasa dan peranannya dalam penubuhan AIMST. 

“Masa depan negara terletak di tangan anak-anak muda, manfaatkan peluang pendidikan ini sebaiknya untuk mengangkat martabat diri, masyarakat dan negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI