Berita

KPT, KKM diarah segera selesaikan isu graduan farmasi Universiti Alexandria

Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengambil maklum aduan dikemukakan pelajar bidang farmasi di Universiti Alexandria, Mesir berhubung pengiktirafan kelayakan program Doktor Farmasi (PharmD).

Dalam satu kenyataan, PMO berkata, pengiktirafan kelayakan program pengajian itu berkaitan tujuan pendaftaran dan amalan profesional di negara ini.

“Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memberikan perhatian serta memuktamadkan penyelesaian terhadap isu ini dengan kadar segera demi kepentingan pelajar yang terlibat,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Katanya ketika ini, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tidak mempunyai halangan terhadap pengiktirafan akademik program berkaitan. 

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, pengiktirafan profesional untuk tujuan pendaftaran sebagai ahli farmasi memerlukan pertimbangan dan persetujuan Lembaga Farmasi Malaysia.

Sehubungan itu katanya, KPT dan KKM perlu menyelesaikan isu ini secara tuntas selaras dengan gagasan MADANI yang menuntut keadilan, ihsan dan kebijaksanaan dalam setiap keputusan yang menyentuh masa depan rakyat, tanpa menjejaskan standard profesional yang ditetapkan bagi bidang farmasi. -MalaysiaMADANI