Berita

Serangan dron di Kuwait, semua rakyat Malaysia selamat -Wisma Putra

Kementerian Luar mengesahkan semua rakyat Malaysia di Kuwait selamat serta tidak terjejas ekoran serangan dron dan peluru berpandu yang disasarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, awal pagi semalam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataannya berkata, kerajaan turut memantau rapat situasi berkenaan dari semasa ke semasa.

“Susulan serangan tersebut, lapangan terbang berkenaan telah ditutup buat sementara waktu dan semua penerbangan komersial telah digantung sehingga diberitahu kelak.

“Sekiranya warganegara Malaysia yang terjejas akibat gangguan ini dinasihatkan untuk menghubungi syarikat penerbangan masing-masing secara terus bagi mendapatkan pengaturan alternatif dan penjadualan semula penerbangan,” kata kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata, warganegara Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan di rantau itu digesa untuk mengekalkan tahap kewaspadaan tinggi. 

Menurutnya, warganegara Malaysia perlu mematuhi sepenuhnya sebarang arahan keselamatan, sekatan pergerakan atau arahan kecemasan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Warganegara Malaysia yang belum mendaftar keberadaan mereka diseru untuk berbuat demikian dengan segera menerusi portal e-Konsular Kementerian di pautan https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan yang pantas,” katanya kenyataan itu.

Tambahnya lagi, bagi bantuan konsular segera atau kecemasan, warganegara Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait secara terus menerusi saluran telefon (pertanyaan umum) +965 2255 0394 / +965 2255 0395, talian kecemasan +965 9678 3036 atau menerusi emel mwkuwait@kln.gov.my. -MalaysiaMADANI