Berita

Sektor tenaga global tuntut anjakan pemikiran, keberanian teroka penyelesaian baharu

Penganjuran Energy Transition Conference (ETCon) 2026 dilihat penting sebagai sebuah platform menghimpunkan pemain industri tenaga dari dalam dan luar negara berkongsi kepakaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ETCon membolehkan semua peserta bertukar pandangan dan meneroka pendekatan strategik bagi memperkukuh pembangunan sektor tenaga yang mampan.

Beliau berkata, sektor tenaga global menuntut anjakan pemikiran dan keberanian untuk meneroka penyelesaian baharu.

“Krisis yang berlarutan di Timur Tengah memperlihatkan betapa dunia tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada bahan api fosil.

“Sebaliknya perlu mempercepat peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu yang lebih bersih, mampan dan berdaya tahan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Pada masa yang sama, menurut beliau, perkembangan teknologi dan tuntutan globalisasi meningkatkan keperluan terhadap bekalan tenaga yang stabil dan mencukupi. 

Tambah beliau, kepesatan pembangunan pusat data yang menjadi tunjang kepada kemajuan kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan industri semikonduktor, menjadikan agenda transisi tenaga semakin mendesak dan strategik.

“Saya turut menegaskan komitmen Malaysia untuk menjayakan ASEAN Power Grid, satu inisiatif penting yang akan memperkukuh kerjasama serantau.

“Ia penting dalam pembangunan dan perkongsian sumber tenaga secara lebih bersepadu, cekap dan terjamin demi manfaat bersama negara-negara ASEAN,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI