Berita

Kerajaan MADANI bincang secara terperinci kesiapsagaan negara hadapi sebarang kemungkinan

Pengurusan krisis rantaian bekalan, bahan mentah dan kos sara hidup menjadi tajuk utama perbincangan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) susulan konflik berlarutan di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu perbincangkan secara terperinci telah dilakukan berhubung perkara tersebut dan Kerajaan MADANI juga mengambil tindakan mengurus situasi secara berfasa berpandukan data, libat urus bersama industri serta tindakan segera di lapangan. 

Beliau berkata, keutamaan negara bukan sekadar menstabilkan harga, tetapi memastikan bekalan asas kekal terjamin serta mengurangkan impak lonjakan kos mendadak kepada rakyat.

“Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada lima keutamaan iaitu menstabilkan bekalan tenaga dan input kritikal, mengawal tekanan kos kepada rakyat, memastikan projek penting tidak terbengkalai, melindungi pekerjaan dan pendapatan keluarga serta memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut beliau lagi, MTEN turut meneliti pembentangan Khazanah mengenai implikasi krisis bekalan global yang kini mengubah pertimbangan pelabur kepada faktor kestabilan tenaga, akses bahan mentah dan keupayaan negara mengurus kejutan.

Kata beliau, Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk bertahan, namun kekuatan tersebut mesti diterjemahkan kepada tindakan yang tersusun dan tegas.

Jelas beliau, dengan peranan GLC dan GLIC yang diperkasa, kerajaan akan memastikan negara kekal stabil dan pastinya kepentingan rakyat terus dilindungi. 

“Kita berupaya bangkit dengan lebih berdaya tahan dalam mendepani cabaran ini,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI