Berita

Pendekatan strategik bersifat menyeluruh bantu Bumiputera lebih mapan, berdaya saing

Kerajaan MADANI kekal mendukung dan menyemarak agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera sebagai saluran berdaya hasil dan berteraskan pencapaian membanggakan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui pengukuhan Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC), kerajaan menetapkan sasaran yang lebih berani dengan meningkatkan pelaburan GLIC sehingga RM2 bilion.

Menerusi langkah itu, beliau berkata, ia bakal menjayakan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu serta membimbing lahirnya jaguh Bumiputera yang berupaya mencapai nilai syarikat mencecah RM500 juta dalam tempoh lima tahun. 

“Ini bukan sekadar angka, tetapi lambang tekad untuk mengangkat martabat ekonomi Bumiputera ke tahap yang lebih mapan dan berdaya saing,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Justeru itu kata beliau, pendekatan strategik digerakkan harus bersifat menyeluruh, daripada memperkukuh perusahaan dan syarikat sedia ada yang berdaya tahan hinggalah membuka ruang kepada penyertaan dalam sektor pertumbuhan baharu seperti kecerdasan buatan dan teknologi tinggi. 

Menurut beliau, kejayaan jenama seperti SERAI dan GlocAI memperlihatkan bahawa apabila ekosistem yang tepat disediakan, usahawan Bumiputera mampu berdiri setara malah unggul dalam landskap ekonomi moden. 

Dalam masa sama, beliau berkata, akses kepada pembiayaan, perolehan kerajaan serta peluang komersial terus diperluas sebagaimana yang dinikmati oleh syarikat seperti Bateriku, Hanan Medicare, Bluesify, Pak Tam dan Meraque yang menjadi bukti bahawa tata laksana yang inklusif mampu melahirkan legasi keusahawanan mampan.

Lantaran itu kata beliau, sesi meja bulat ini bukan sekadar penyuguhan idea, tetapi medan penting untuk melerai kekangan dan merungkai tantangan yang masih membelenggu usahawan Bumiputera. 

Tambah beliau, kerajaan sentiasa mendengar, menilai dan akan terus memperhalusi pendekatan sedia ada agar setiap dasar yang digerakkan benar-benar mencerminkan realiti di lapangan. 

“Walhasil, dengan iltizam kolektif serta kepemimpinan yang berprinsip, kita yakin bahawa agenda keusahawanan Bumiputera akan terus berkembang, bukan sahaja sebagai tonggak ekonomi negara tetapi sebagai manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras kepada gagasan yang madani,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI